Op Khas Motosikal: Lebih 78,000 Notis Dikeluarkan Dalam Tempoh 29 Hari

30/11/2024 11:20 AM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 78,152 notis atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal di seluruh negara, bagi tempoh 29 hari sejak operasi itu dilancarkan 1 Nov.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi berkata kesalahan tertinggi direkodkan melibatkan tiada lesen memandu iaitu 22,601 notis, diikuti tiada Lesen Kenderaan Motor (16,789), tiada insurans (15,117), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (4,699), lesen tamat tempoh (1,606) dan memandu bawah umur (167).

Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 1,530 notis terhadap pemandu atau penunggang warga asing (PeWA) dalam tempoh berkenaan, manakala 2,125 motosikal disita atas pelbagai kesalahan dan 34 daripada 234 penunggang motosikal yang diarahkan menjalani ujian saringan air kencing didapati positif dadah.

“Operasi Khas Motosikal ini bagi memantau dan mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya dengan kebanyakan kes ini disiasat mengikut Seksyen 26 (1) APJ.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap penunggang motosikal dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya,” katanya pada sidang media Op Khas Motosikal di Bangsar di sini hari ini.

Terdahulu Jazmanie yang disertai Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail bersama 186 pegawai dan anggota JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Kuala Lumpur, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, menjalankan pemeriksaan terhadap 5,169 kenderaan dalam operasi bermula 9 malam tadi hingga 3 pagi ini.

Beliau berkata sebanyak 1,431 notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu dan pihaknya menyita 61 motosikal serta sebuah kereta.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan