71 Individu Ditahan Bantu Siasatan Kes Judi, Tipu Tawaran Kerja

04/12/2024 12:17 PM

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak 71 individu termasuk 35 warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pusat panggilan perjudian dan penipuan tawaran kerja dalam talian di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata bertindak atas maklumat awam, pihaknya telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan di dua premis pejabat dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan dengan menyasarkan mangsa dari luar negara. 

Beliau berkata dalam dua serbuan itu, kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun terdiri daripada 36 warga tempatan dan 35 lagi warga asing. 

"Berdasarkan siasatan, sindiket pertama telah mula beroperasi pada awal bulan lepas dan menjalankan kegiatan membangunkan dan menjual aplikasi perjudian dalam talian untuk pasaran dalam serta luar negara. 

"Dalam serbuan itu, kita merampas 27 telefon bimbit, 18 komputer riba, 12 monitor, satu Mac Mini, satu iPad, tiga modem WiFi dan dua papan kekunci yang dianggarkan bernilai RM80,000," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kumar berkata sindiket kedua pula mula beroperasi pada akhir Oktober lepas dan bergiat dalam dua lapisan iaitu sebagai khidmat pelanggan dan kerani kemasukan data akan menghantar mesej melalui Telegram berkaitan tawaran kerja dengan menjanjikan pendapatan tinggi iaitu antara USD100 hingga USD800, bagi setiap tugasan.

Kemudian mereka meminta maklum balas berkaitan nama, umur serta negara dan sekiranya penerima mesej memberi maklum balas, maklumat berkenaan diserahkan kepada lapisan kedua yang akan berkomunikasi lebih lanjut dengan mangsa mengenai tawaran berkenaan, dengan menyasarkan mangsa dari Rusia dan India.   

"Kita telah merampas peralatan digunakan dalam kegiatan tersebut antaranya 53 telefon bimbit, 23 komputer riba, 16 set komputer, empat modem WiFi, empat router, dua tetikus, enam buku latihan dan satu monitor bernilai kira-kira RM145,000," katanya.

Beliau berkata kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan 18 individu bagi tangkapan serbuan pertama dituduh mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dan kesemua mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini hari ini," katanya. 

Kumar berkata manakala bagi tangkapan serbuan kedua pula, Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan agar siasatan lanjut dijalankan bagi mendapatkan beberapa keterangan lain untuk kes dikaji semula. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan