Penganggur Jadi Mangsa Sindiket Penipuan Kerja Sambilan Dalam Talian Hilang RM43,351

04/12/2024 06:09 PM

SIBU, 4 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki warga tempatan berusia 30an mengalami kerugian RM43,351 selepas menjadi mangsa terbaharu jebakan penipu yang menawarkan kerja sambilan secara atas talian dengan janji komisen yang lumayan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki itu mulai terjebak selepas mengenali seorang wanita melalui aplikasi Messenger Facebook pada 27 Nov lepas.

Beliau berkata apabila lelaki itu berminat dengan tawaran kerja yang dikemukakan, dia telah diberikan pautan Youtube dan diarah menekan butang ‘Suka’ serta menghantar kepada orang lain, maklumat mengenai barangan atau produk yang dijual, sebagai tugasannya.

Zulkipli berkata selepas tugasan itu selesai, lelaki berkenaan memperoleh komisen RM190, namun bagi tugasan seterusnya dia tidak lagi menerima bayaran komisen kerana dikatakan telah melakukan kesilapan, dan dikehendaki membuat pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek.

“Lelaki itu telah membuat tujuh transaksi pemindahan wang berjumlah RM43,351 ke dalam dua akaun tempatan yang berlainan.

“Setelah selesai membuat pembayaran suspek mengarahkan lelaki itu membuat satu lagi pemindahan wang berjumlah RM20,894 namun dia mengatakan wang simpanan miliknya tidak mencukupi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata yang tidak bekerja itu mulai merasa curiga dan terus membuat laporan polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan