KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Sebuah gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR) membuat laporan polis terhadap penulis blog kontroversi yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pelaburan di beberapa negeri dan menjejaskan reputasi kredibiliti kerajaan MADANI.
Pengerusinya Mustapa Mansor berkata penulis blog itu menerusi perkongsian video di laman sosial membuat kenyataan menuduh Anwar melakukan sabotaj terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung pelaburan di negeri itu.
Beliau berkata menerusi video itu, penulis blog lelaki tersebut turut mendakwa Perdana Menteri mengugut pelabur untuk tidak melabur di Kelantan, Terengganu dan Perlis.
"Kami mahu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap penulis blog itu," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wang ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan menerima laporan tersebut.
Terdahulu muncul satu video berdurasi 11 minit 23 saat yang disyaki dimuat naik penulis blog tersebut di media sosial yang mendakwa Anwar cuba mensabotaj Muhammad Sanusi itu supaya pelabur keluar dari Kedah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial