Mahkamah Tolak Rayuan Guan Eng Terhadap Keputusan Mahkamah Tinggi Ketepi Samannya

06/12/2024 04:27 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini gagal dalam rayuannya berhubung saman fitnahnya terhadap naib presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng dan akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk See Mee Chun, Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, sebulat suara menolak rayuan Lim selepas memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah turut memerintahkan Lim membayar RM30,000 kepada Tan dan RM40,000 kepada The Star Media Group Berhad bagi kos guaman.

Hakim Ahmad Kamal, yang menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata kenyataan yang dibuat oleh Tan tidak berunsur fitnah.

Beliau berkata mahkamah mendapati artikel Tan, termasuk berhubung kenyataan yang dipersoalkan itu, adalah berkaitan kepentingan awam dan Tan hanya meminta Lim untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan yang tidak dinafikan Lim.

Hakim Ahmad Kamal berkata seorang lelaki munasabah yang membaca ayat terakhir dalam kenyataan itu pasti akan menganggap bahawa Lim akan memberi penjelasan mengenai isu peruntukan RM4 juta kepada sekolah Cina dan pertukaran nama sekolah itu.

Beliau berkata ia terbuka kepada Lim untuk turut bertindak balas dengan menyerahkan surat balasan kepada ruangan "Surat kepada Editor" Star dalam talian, yang akan membolehkannya beliau menangani isu tersebut.

Hakim Ahmad Kamal berkata mahkamah rayuan tidak menemui kesilapan undang-undang atau kesilapan fakta dalam dapatan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang sebelum ini menolak tuntutan Lim pada Jun 2023.

Beliau juga berkata The Star telah menerbitkan kenyataan itu secara adil dan neutral, tanpa sebarang tokok tambah.

Lim yang merupakan bekas setiausaha agung DAP menyaman Tan dan The Star Media Group berhubung pendapat Tan yang diterbitkan dalam ruangan "Surat kepada Editor" Star dalam talian.

Tan dalam kenyataan itu menuntut Lim memberi penjelasan mengenai dakwaan bahawa peruntukan RM4 juta yang diberikan oleh Perbendaharaan Negara kepada sekolah rendah Cina di Johor adalah dengan syarat sekolah itu menukar namanya.

 Lim diwakili oleh peguam Simon Murali dan Kok Yuen Lin; manakalan Tan diwakili peguam Ng Kian Nam, serta Hemananthini Chellakanna Pillai, dan The Star diwakili peguam Abdullah Abdul Rahman dan Deanna Ternisha.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan