TIGA PEKERJA KONTRAKTOR MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK

13/12/2024 03:47 PM

KOTA KINABALU, 13 Dis (Bernama) -- Tiga pekerja kontraktor maut akibat terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja-kerja pemasangan alat solar di bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau, pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa dikenali sebagai Gimbal, 25, Salleh, 34, dan Wong, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan.

“Bomba menerima panggilan pukul 10.46 pagi dan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pukul 10.48 pagi. Laporan mengatakan empat pekerja melakukan kerja di lokasi berkenaan namun seorang mangsa terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Pekerja lelaki yang terselamat itu dikenali sebagai Dani berusia 20an.

Kenyataan itu memaklumkan pasukan bomba bertindak mengalihkan mangsa ke tempat selamat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 12.03 tengah hari," katanya sambil menambah pegawai daripada Sabah Electricity Sdn Bhd dan Kementerian Kesihatan serta anggota polis turut serta dalam operasi itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan