KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Seorang pelayan restoran wanita warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dengan menikam mangsa beberapa kali di sebuah restoran pusat beli-belah di Cheras, bulan lepas.
Yang Yahong, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Wanita itu didakwa membunuh rakan sekerjanya, juruwang Zhang Wei, 34, di sebuah restoran di pusat beli-belah berkenaan pada 4.30 petang, 29 Nov lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika sabit Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali.
Mahkamah menetapkan 12 Feb depan untuk sebutan kes bagi laporan bedah siasat dan forensik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafika Azwa Fikri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia selepas ditikam beberapa kali pada bahagian badannya dengan pisau. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dengan ambulans ke hospital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial