KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Polis meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan pempengaruh dan usahawan agensi pelancong yang beroperasi di Korea Selatan untuk tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan usahawan berkenaan.
"Mana-mana individu yang menjadi mangsa diminta untuk tampil membuat laporan polis dan kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Korea Selatan bagi menyiasat perkara ini.
"Laporan polis perlu dibuat bagi kita membantu mangsa selain mudah untuk polis dapatkan kerjasama sama ada melalui polis antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Korea Selatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.
Sejak semalam, tular di media sosial video luahan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pempengaruh dan usahawan yang membuka agensi pelancongan di Korea Selatan.
Menerusi video berkenaan, wanita itu mendakwa dia bersama rombongan 'terkandas' di lapangan terbang kerana tiada tiket penerbangan pulang ke tanah air seperti dijanjikan usahawan terbabit sebelum dimaklumkan terdapat masalah teknikal untuk membuat tempahan tiket.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata pihaknya menerima dua laporan berkaitan kes pecah amanah oleh dua peguam membabitkan kerugian lebih RM3 juta.
Beliau berkata seorang pengarah syarikat berusia 40 tahun mendakwa peguam yang dilantik oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjadi pentadbir sementara ke atas harta pusaka milik ibunya telah melakukan pecah amanah pada 29 Nov lepas.
"Lelaki itu mendakwa terdapat lima transaksi pengeluaran wang sebanyak RM2,072,708 yang mencurigakan daripada akaun bank milik mendiang ibu pengadu tanpa pengetahuannya," katanya.
Ramli berkata kes kedua pula membabitkan seorang lelaki berusia 41 telah membuat laporan polis di Petaling Jaya, Selangor pada 8 Dis lepas.
"Mangsa telah berkenalan dengan seorang individu yang dikatakan boleh membantu dalam urusan mendapatkan pinjaman perniagaan dari luar negara dan selepas beberapa siri perbincangan, pengadu bersetuju untuk mendapatkan pinjaman berjumlah RM200 juta untuk kegunaan syarikat miliknya," katanya.
Beliau berkata pengadu seterusnya diperkenalkan kepada seorang peguam yang akan mengendalikan urusan dokumentasi serta pembayaran yang berkaitan.
"Setelah menandatangani beberapa dokumen yang diterima dari peguam itu, pengadu telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM1 juta ke dalam akaun klien firma guaman berkenaan," katanya.
Ramli berkata pengadu kemudian menghubungi semula peguamnya bagi mendapatkan perkembangan terkini status pinjamannya namun pelbagai alasan diberikan.
"Pengadu juga telah meminta peguamnya membuktikan wang RM1 juta yang telah
dibayar masih berada di dalam akaun klien firma guaman namun peguam itu enggan berbuat demikian," katanya.
Ramli berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial