Pengarah Syarikat Didakwa Guna Bangunan Bagi Aktiviti Pengubahan Wang Haram

18/12/2024 03:19 PM

SEREMBAN, 18 Dis (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan bangunan miliknya untuk aktiviti pengubahan wang haram, tahun lepas.

Cheong Yin Ying, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi dengan menggunakan bangunan dan benda dalam bangunan milik syarikatnya di Jalan Perindustrian Mantin 1 dan 2, Kawasan Perindustrian Ringan Mantin untuk melakukan suatu aktiviti haram pada 15 Dis 2023.

Kesalahan dilakukan di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu atau RM5 juta, mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin memohon mahkamah menawarkan wang jaminan berjumlah RM50,000 untuk kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh Amirul Fairuzzeen Jamaluddin meminta mahkamah mengguna pakai jaminan sama seperti kes yang pernah dituduh terhadap Cheong sebelum ini di mahkamah tersebut.

“Jadi, bagi kes ini saya mohon wang jaminan sama digunakan, selain itu beliau juga telah menyerahkan pasport pada 5 Dis lepas dan melapor diri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup setiap bulan,” katanya.

Mohamad Kamil kemudian menetapkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 6 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pada 5 Dis lepas, Cheong dan suaminya Ooi Joe Behn, 41, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas 14 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM3.7 juta, sejak 2021 hingga 2023.

Mahkamah membenarkan Cheong dan Ooi diikat jamin masing-masing RM60,000 dan RM40,000 dengan seorang penjamin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan