KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Seramai 463 individu ditahan menerusi pelbagai operasi yang dijalankan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bagi tempoh 1 Jan hingga awal Disember tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM960.1 juta.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas (PSK) berjaya menyelesaikan 136 kes menyaksikan nilai rampasan berjumlah RM434 juta serta menahan 387 individu dalam operasi seperti Op Bersepadu Khazanah, Op Tiris, Op Kontraban dan Op E-Waste.
“Cawangan itu turut bekerjasama dengan National Resources Environment and Sustanability (NRES) dan United Nation Development Programmed bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dalam membanteras jenayah hidupan liar serta pemuliharaan spesies haiwan ikonik, khususnya Harimau Malaya di Semenanjung, Banteng di Sabah dan Orang Utan di Sarawak.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memberikan impak positif menerusi pelbagai kategori tangkapan dan rampasan dengan jumlah keberhasilan bernilai lebih RM279 juta,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Disember 2024 anjuran KDNKA di Bukit Aman hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah KDNKA Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Razarudin berkata turut merekodkan kejayaan ialah Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang telah melaksanakan sebanyak 34 serbuan dengan nilai rampasan RM37.1 juta selain menahan 76 individu manakala Pasukan Polis Marin (PPM) pula menyelesaikan 7,103 kes jenayah di perairan negara termasuk melibatkan aktiviti penyeludupan menyaksikan nilai rampasan dan saman berjumlah RM210 juta.
Mengenai prestasi Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM), beliau berkata ia mencatat peningkatan sebanyak 0.7 peratus kepada 121.3 mata berbanding 120.4 mata pada 2022.
“Sungguhpun begitu, antara komponen dalam subkomposit sosial iaitu Indeks Keselamatan Awam didapati merosot 1.7 mata kepada 127.6 mata pada 2023 berbanding 129.3 mata pada 2022.
“Penurunan itu disebabkan peningkatan bilangan kemalangan jalan raya dan kenaikan kadar jenayah. Justeru, saya menyeru semua warga PDRM untuk terus komited bagi menjamin kesejahteraan masyarakat sekali gus memastikan keselamatan negara berada pada tahap optimum,” katanya.
Sementara itu, Razarudin berkata Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan menuntut seluruh warga Sang Saka Biru untuk memperkasakan dan memperkukuh lagi integriti serta tatakelola yang baik, seperti dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada perhimpunan itu, Razarudin turut menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 73 penerima daripada pelbagai jabatan dan formasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial