KUALA TERENGGANU, 18 Dis (Bernama) -- Polis menahan 12 penuntut sebuah universiti awam bagi membantu siasatan kes seorang pelajar lelaki yang dipukul secara bergilir-gilir hingga cedera.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata kesemua lelaki berusia 20 hingga 22 tahun itu ditahan selepas pihaknya bertindak atas laporan daripada seorang bapa yang mendakwa anaknya berumur 20 tahun telah dipukul di kolej kediaman pelajar di universiti itu antara 1 hingga 5 pagi Ahad lepas.
“Kejadian dimaklumkan oleh mangsa kepada pengadu (bapa) melalui telefon pada 10.50 malam (Ahad) semasa pengadu berada di rumahnya di Melaka. Mangsa turut menghantar beberapa gambar yang menunjukkan kecederaan dialami di beberapa bahagian anggota badan.
“Pengadu kemudian tiba di Kuala Terengganu pada 16 Dis (Isnin) dan terus membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan di unit kecemasan, sebelum mangsa dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Mohd Zaki berkata pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan lebam dan kecederaan dalaman akibat dipukul dengan objek tumpul pada lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, bahagian perut dan kaki kanan mangsa.
Beliau berkata senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dirampas manakala kesemua penuntut itu direman hingga Sabtu untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pejabat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam kenyataan mengesahkan terdapat laporan dibuat kepada pihak polis berkaitan salah laku pelajarnya.
Kenyataan itu memaklumkan pihak universiti memandang serius insiden itu dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
“Pada masa sama, UMT sedang menjalankan siasatan dalaman dan menegaskan bahawa setiap pelajar hendaklah sentiasa mematuhi Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Terengganu (Tatatertib Pelajar) 2024.
“Sebagai sebuah universiti berkepentingan awam, UMT sentiasa berusaha memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar terpelihara serta tidak dikompromi,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial