Tuduh-Menuduh Punca Pergaduhan 13 Pelajar UMT

19/12/2024 03:37 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- Saling tuduh-menuduh menjadi punca pergaduhan sehingga menyebabkan seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) cedera dipukul 12 pelajar lain di kolej kediaman universiti itu, Ahad lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata bagaimanapun pihaknya tidak dapat mendedahkan isu yang mencetuskan perbalahan atas sebab-sebab tertentu.

Beliau berkata berdasarkan laporan perubatan, mangsa yang merupakan pelajar junior berusia 20 tahun itu disahkan hanya mengalami lebam di badan dan tidak mengalami kecederaan dalaman atau patah tulang.

"Laporan doktor mengesahkan tiada sebarang kecederaan organ dalaman atau patah tulang. Mangsa hanya mengalami lebam-lebam di badan dan dirawat di wad biasa.

"Ketika ini mangsa yang dipukul dengan kayu berada dalam keadaan stabil, namun pemantauan masih diteruskan untuk memastikan kesihatannya terjamin," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata susulan insiden itu kesemua 12 pelajar senior berusia antara 20 hingga 22 tahun kini direman hingga Sabtu ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pelajar supaya tidak terlibat dengan kes buli atau jenayah kekerasan kerana boleh dikenakan tindakan tegas.

"Pihak universiti juga akan mengambil tindakan mengikut peruntukan peraturan mereka. Ini boleh menjejaskan masa depan mereka (pelajar)," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan