KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Polis telah merakam keterangan blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo berhubung kenyataannya yang mengandungi unsur fitnah dan mengaibkan kehormatan Ketua Polis Negara dan pasukan keselamatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata keterangan Wan Muhammad Azri diambil pada 3 petang tadi di Balai Polis Setapak.
"Sebanyak 37 soalan telah diajukan dan rakaman percakapan selesai pada 4.05 petang tadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Razarudin berkata keterangan daripada lelaki terbabit diambil selepas pihaknya menerima laporan berhubung video menerusi akaun YouTube milik Papagomo pada 15 Dis lepas.
Menerusi video itu iaitu pada minit 31:05, Wan Muhammad Azri melontarkan perkataan dan memberi gambaran mengaibkan serta fitnah terhadap Razarudin dan pasukan polis selain mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata polis telah merakam percakapan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza hari ini untuk siasatan karikatur serta kenyataan berbaur memperlekeh pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.
Beliau berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan proses itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 8.15 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian.
Polis katanya menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan kenyataan yang dimuat di Facebook lelaki terbabit, semalam.
"Ia berkaitan karikatur dan kenyataan yang dipercayai dimuat naik untuk mengkritik, menghasut, cuba membangkitkan kebencian dan provokasi terhadap beliau (Musa) serta Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim," katanya
Razarudin berkata karikatur dan kenyataan itu dilihat menyentuh isu 3R (raja, kaum dan agama) serta mampu mengganggu keselamatan dan keharmonian negara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial