GEORGE TOWN, 20 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang giat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dua lelaki tempatan yang dilaporkan hilang di perairan pantai Kerachut, Sungai Pinang di sini Isnin lepas.
Pengarahnya Kapten Maritim Razali Kasim berkata operasi memasuki hari keempat sejak ia diaktifkan pada Selasa lepas dan telah menjangkau keluasan sektor pencarian hampir 250 batu nautika persegi.
"Keseluruhan kawasan sektor pencarian dilaksanakan oleh tiga aset laut dan dua pesawat udara yang dijalankan oleh APMM Pulau Pinang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM).
"Berdasarkan maklumat, dua mangsa berumur 22 dan 25 tahun itu dipercayai melakukan aktiviti perikanan sebelum dilaporkan hilang dan operasi akan diteruskan hingga Sabtu ini jika masih tiada petunjuk baharu diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dua nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang, di sini pada Isnin lepas.
Kejadian berlaku pada kira-kira 7.30 malam dan mangsa dikatakan sempat menghubungi rakan mereka memaklumkan bot dinaiki mengalami kerosakan enjin sebelum tidak dapat dihubungi.
Sementara itu, Razali berkata sepanjang tahun ini pihaknya merekodkan penemuan 11 mayat melibatkan pelbagai insiden di laut yang telah diambil tindakan sewaktu kejadian.
Beliau tidak menolak kemungkinan insiden itu berlaku kerana kurangnya kepekaan mangsa terhadap keadaan cuaca di laut terutama ketika melakukan aktiviti perikanan.
"Aktiviti yang berorentasi perniagaan termasuk pengusaha feri juga tidak terkecuali berhadapan dengan isu keselamatan di laut memandangkan hujan lebat, angin kencang, serta laut bergelora yang tidak menentu," katanya.
Bagi mengurangkan kadar kemalangan di laut, beliau berkata APMM Pulau Pinang menggiatkan program pencegahan dengan membuat rondaan serta pemantauan di jeti sekitar pantai dan perairan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial