SEREMBAN, 27 Dis (Bernama) -- Sebanyak 45,237 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan berikutan pemeriksaan terhadap 235,616 kenderaan perdagangan dalam 5,747 Ops Kenderaan Perdagangan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata daripada jumlah saman itu 28,298 dikeluarkan bagi lori, bas (349) manakala kenderaan pelbagai guna seperti van dan jip yang didaftarkan atas nama syarikat (16,590).
“Saman tertinggi melibatkan kesalahan tiada Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) sebanyak 10,859 notis, diikuti menggunakan alat telekomunikasi ketika memandu (9,254), Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (8,380), tidak mematuhi lampu isyarat merah (3,676) dan lesen memandu telah tamat tempoh (2,179).
“Bagi kesalahan bawa muatan lebih had ditetapkan, kertas siasatan dibuka melibatkan 380 kenderaan manakala 154 lori, 106 kenderaan pelbagai guna dan satu bas telah disita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri lawatan kerja di Ibu Pejabat Daerah Seremban, di sini hari ini.
Beliau berkata JSPT turut menahan 45 pemandu kenderaan perdagangan, dengan 12 daripadanya dituduh di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bakinya didakwa atas akta lain.
Terdahulu, Mohd Yusri menganugerahkan sijil penghargaan kepada Kamarul Ekhsan Abdul Ghani, 46, atas tindakan pantasnya menahan sebuah lori yang mengalami kerosakan tayar bagi mengelakkan kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, baru-baru ini.
Ketika ditemui pemberita, Kamarul Ekhsan yang merupakan seorang mekanik dari Seremban berkata beliau tidak menyangka akan menerima penghargaan, pertama kali dalam hidupnya.
“Saya memang terkejut video itu tular, saya rakam dan letakkan di Facebook pada 5 Okt lepas, tak sangka tontonannya cecah 400,000 dalam tempoh 24 jam, dan sehingga kini video itu mendapat 1.7 juta tontonan. Saya tak pernah fikir untuk cari publisiti, cuma nak bantu.
“Saya fikir kalau tidak hentikan lori itu musibah mungkin berlaku. Jadi sebelum ia terjadi, saya cuba tahan (lori), ia adalah tanggungjawab saya sebagai umat Islam… saya ikut lori bermuatan 40 tan itu kira-kira tiga kilometer sebelum pemandu menghentikan lorinya,” kata bapa kepada dua anak itu.
Dalam kejadian Oktober lepas itu, Kamarul Ekhsan yang dalam perjalanan ke Johor Bahru ternampak tayar bahagian belakang sebelah kanan lori Hino yang bergoyang seperti mahu tercabut, sebelum tiga kali memintas lori itu memintanya untuk berhenti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial