Pemandu Bas Persiaran Didenda RM6,000 Rosakkan Kereta Warga Taiwan

29/12/2024 04:43 PM

JOHOR BAHRU, 29 Dis (Bernama) -- Seorang pemandu bas persiaran didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kereta milik seorang wanita warga Taiwan, di Jalan Pantai di sini 20 Dis lepas.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Nazri Elias, 38, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan, serta turut memerintahkan lelaki itu dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa memecahkan cermin sisi dan mencalarkan kereta jenis Peugeot milik wanita berkenaan sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM5,000 di Kilometer 0.3, Jalan Pantai menuju ke Permas Jaya pada 9.05 malam, 20 Dis. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali.

Terdahulu, tular di aplikasi X satu satu video yang memaparkan seorang lelaki bertindak merosakkan sebuah kereta milik wanita warga Taiwan di Jalan Pantai.

Polis kemudian berjaya menahan lelaki berkenaan di kawasan Bukit Senyum, di sini pada 23 Dis dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataan pada 26 Dis  memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat tidak berpuas hati terhadap wanita itu yang enggan memberi laluan untuknya menukar lorong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan