Datuk Seri Antara Lima Didakwa Cederakan Pengurus Insurans

30/12/2024 05:25 PM

MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri bersama anak, menantu dan dua pekerjanya, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan serta mengugut seorang pengurus insurans bulan lepas.

Mohamad Fazil Shafie, 62, Nur Amalina Mohamad Fazil, 33, dan Amran Azmi, 32, bersama dua pekerja iaitu Azian Ab Rahim, 37, dan Muhammad Azrul Syafiq Rosman, 28, telah mencapai niat bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Nur Hakim Baharudin, 30.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah cafe di Taman Kota Laksamana di dalam daerah Melaka Tengah, sekitar 8.30 malam pada 14 Nov.

Kelima-lima tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Dalam prosiding sama, Mohamad Fazil turut dituduh di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan Muhammad Nur Hakim secara lisan di lokasi, masa serta tarikh sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Sementara itu, Nur Amalina mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata kasar dan menghina Muhammad Nur Hakim di tempat, lokasi serta tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100 jika sabit kesalahan.

Azian pula berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah mangsa di lokasi, tarikh serta masa sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusoh mencadangkan jaminan RM5,000 ke atas setiap tertuduh bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Balasubramaniam yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan RM1,000 memandangkan impak kes telah memberi kesan kepada anak guamnya, selain mempunyai tanggungan manakala Nur Amalina kini hamil.

Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri menetapkan jaminan keseluruhan RM5,500 ke atas Mohamad Fazil dan Azian.

Sementara itu, Nur Amalina dikenakan jaminan RM3,300 manakala Amran dan Muhammad Azrul Syafiq dibenarkan ikat jamin RM2,500 seorang.

Mahkamah menetapkan 23 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen untuk semua pertuduhan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan