Dua Pesara Guru Rugi Lebih RM2 Juta Terpedaya Penipuan Dalam Talian

31/12/2024 02:22 PM

KUANTAN, 31 Dis (Bernama) -- Dua pesara guru kerugian lebih RM2 juta setelah terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kes pertama melibatkan lelaki berusia 71 tahun yang berminat menyertai pelaburan saham setelah melihat iklan di laman Facebook yang menjanjikan pulangan sebanyak 30 peratus.

Beliau berkata untuk permulaan, mangsa melabur sebanyak RM10,000 dan selepas melakukan semakan melalui aplikasi diberikan suspek, lelaki itu mendapati keuntungan pelaburan telah masuk ke dalam akaunnya.

“Melihat kepada keuntungan itu, mangsa telah membuat 21 kali lagi transaksi ke dalam enam akaun yang berbeza diberikan suspek sehingga mengalami kerugian berjumlah lebih RM1.8 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa menyedari diperdaya setelah diminta memasukkan wang sebanyak RM2.8 juta lagi selain cubaan untuk mengeluarkan keuntungan menerusi aplikasi terbabit tidak berjaya.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang wanita berusia 60 tahun telah mengalami kerugian lebih RM333,000 setelah diperdaya menerusi panggilan telefon oleh individu yang kononnya ejen daripada sebuah syarikat insurans.

Yahaya berkata pesara itu diberitahu terdapat individu telah membuat tuntutan insurans atas namanya, namun mangsa telah menafikan sebelum menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Zaidi.

"Dia dimaklumkan telah terlibat dengan pengubahan wang haram melibatkan akaun BSN berjumlah RM2.8 juta, tetapi menafikan kerana tidak pernah mempunyai akaun bank itu.

“Bagaimanapun, mangsa telah diarahkan untuk ke bank bagi menukarkan nombor telefon yang telah diberikan sebelum suspek meminta wanita itu memasukkan wang milik mangsa ke akaun diberikan untuk siasatan Bank Negara," katanya.

Yahaya berkata mangsa juga telah diarahkan untuk membuat pinjaman wang di bank dan telah menjual barang kemas miliknya sebelum memasukkan wang ke akaun diberikan suspek.

Mangsa kemudian menyedari perbuatan berkenaan ialah sindiket penipuan setelah diminta untuk memasukkan wang lagi, katanya.

Kedua-dua mangsa katanya, masing-masing telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dan Raub semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan