KANGAR, 31 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis komited dalam meningkatkan infrastruktur bagi menambah keselesaan pegawai serta anggotanya selain memperkukuhkan kualiti kerja dan keselamatan di negeri ini, tahun depan.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata antara usaha yang sedang dirancang adalah pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di Padang Besar yang kini dalam proses penyediaan pelan dan pembinaan IPD Arau di lokasi baharu di Mata Ayer.
“IPK Perlis juga dalam usaha menambah beberapa kuarters untuk pegawai dan anggota terutama di kawasan luar bandar. Kemudahan ini penting untuk memberikan keselesaan kepada mereka sekali gus meningkatkan motivasi serta kualiti kerja secara keseluruhan,” katanya selepas perhimpunan bulanan terakhir IPK Perlis bagi 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata keselamatan di Perlis berada dalam keadaan terkawal sepanjang tahun ini dengan pelbagai kes jenayah berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 48 jam.
“Laporan yang diterima menunjukkan tahap keselamatan negeri ini terkawal termasuk di kawasan sempadan Perlis-Thailand. Baru-baru ini, PDRM juga bekerjasama dengan polis Thailand berhubung kes tembakan di sempadan selepas suspek dikesan menerusi rakaman CCTV (kamera litar tertutup) dan pihak polis Thailand berjaya menahan dua suspek berdasarkan maklumat yang diberikan,” katanya.
Muhammad berkata kawalan keselamatan di laut juga diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Marin Wilayah Satu yang berpangkalan di Kuala Perlis dan Langkawi, selain usaha berterusan untuk memantau lumba haram dan kes jenayah komersial seperti penipuan dalam talian.
“Tahun ini terdapat sedikit peningkatan kes jenayah komersial namun kita melancarkan pelbagai usaha supaya rakyat lebih peka terhadap taktik penipuan. Bagi isu narkotik pula, pemantauan di kawasan sempadan dan kampung ‘hotspot’ diteruskan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata PDRM Perlis memerlukan peruntukan tahunan lebih RM20 juta untuk pembangunan dan pengoperasian termasuk peningkatan fasiliti dan pelbagai aset.
“Kami berharap peruntukan yang diperlukan akan diluluskan untuk tahun hadapan bagi memastikan kelangsungan usaha meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Kontinjen PDRM Perlis setakat ini mempunyai 1,600 anggota yang bertugas di seluruh negeri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial