SPRM Reman Pengarah Urusan Syarikat Enam Hari Bermula Hari Ini

01/01/2025 01:26 PM

MELAKA, 1 Jan (Bernama) -- Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta berpangkalan di Selangor direman enam hari bermula hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah kononnya bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri daripada sebuah negeri kira-kira dua tahun lepas.

Sumber berkata suspek lelaki berusia 62 tahun sebelum itu ditahan pada 5.35 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka, bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan. 

Pemilik syarikat itu disiasat berhubung permintaan dan penerimaan wang rasuah berjumlah lebih RM375,000 daripada seorang individu bagi mendapatkan gelaran Datuk Seri yang dilakukan secara bersindiket.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan