SEPANG, 2 Jan (Bernama) -- Op Ambang Tahun Baharu yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Selasa lepas berjaya membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dikehendaki polis Perak, kata Ketua Polis IPD Sepang ACP Norhizam Bahaman.
Norhizam berkata remaja lelaki warga tempatan yang berasal dari Teluk Intan itu diburu kerana terlibat dalam beberapa kes curi motosikal di Perak.
“Remaja ini ditahan semasa sekatan jalan raya (SJR) di Cyberjaya. Ketika ditahan, dia menaiki motosikal Yamaha LC 135 dan memberitahu kami yang dia datang ke sini (Cyberjaya) untuk mencari kerja.
“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang ditunggang menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kami telah serah remaja ini kepada polis Perak untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita semasa sesi ramah mesra Ketua Polis IPD Sepang bersama rakan media di sini, hari ini.
Norhizam berkata menerusi Op Ambang Tahun Baharu yang diadakan selama kira-kira empat jam bermula 10 malam di sembilan lokasi dalam daerah Sepang itu, seramai 141 anggota pelbagai pangkat terlibat dan pihaknya telah mengeluarkan 56 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tiada lesen memandu serta tidak memakai tali pinggang keselamatan.
“Kita telah memeriksa 475 individu pelbagai bangsa dan 394 kenderaan yang melalui kawasan SJR,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang dilaporkan hilang pada 12 Nov lalu telah kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat. Siasatan mendapati tiada unsur penculikan dalam kes itu.
“Lelaki ini pulang ke rumah pada 22 Dis lalu dan telah hadir ke balai (IPD Sepang) untuk memberi keterangan. Beliau memaklumkan bahawa dia tidak diculik, sebaliknya menghilangkan diri kerana tekanan di tempat kerja dan membuat keputusan untuk memandu seorang diri tanpa tujuan ke Johor, Pahang, Kelantan, dan Terengganu,” katanya.
Pada November lepas, media melaporkan seorang penyelia tapak projek pembinaan tidak pulang ke rumah selepas meninggalkan pejabatnya di Dengkil, Selangor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial