Imigresen Selangor Tahan 80 Pendatang Tanpa Izin Di Seri Kembangan

02/01/2025 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 80 pendatang tanpa izin dalam operasi khas, Op Sapu, sempena Tahun Baharu di kompleks beli-belah di Seri Kembangan, dekat sini semalam. 

Pengarah Imigresen Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun itu terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Filipina, Thailand, Yaman, India, Indonesia dan Nigeria.

Beliau berkata mereka yang ditahan disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 antaranya tidak memiliki pas atau permit sah serta tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan.

“Seramai 180 warga asing telah diperiksa dalam operasi yang bermula pada 6 petang. Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa bagi tujuan saringan dan dokumentasi.

“Operasi ini dilakukan selepas risikan selama tiga bulan susulan aduan orang ramai yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di kawasan perumahan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairrul Aminus berkata operasi itu melibatkan 22 pegawai dan anggota JIM Selangor yang diketuai oleh Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor Johari Supardi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan