Polis Tangkap Dua Suspek Samun Berkumpulan

02/01/2025 03:31 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Jan (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan dekat Wisma Doktor Haq Wasa di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata suspek pertama berusia 26  tahun ditangkap kira-kira 4 petang semalam di Jalan Panji Alam manakala suspek kedua berusia 27 tahun ditahan di Kampung Seberang Baroh di sini pada hari sama.

Beliau berkata turut dirampas sebuah motosikal skuter Yamaha NVX, pakaian dipakai suspek ketika kegiatan samun, dan pelbagai barangan yang dipercayai hasil samun.

"Kira-kira 8.18 pagi 31 Disember lepas, mangsa seorang wanita berusia 21 tahun, telah disamun oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran.

"Dalam kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan telah ditolak ke bahu jalan sehingga cedera di lutut kiri. Suspek kemudiannya meragut beg tangan mangsa yang mengandungi kunci kereta, telefon bimbit, dompet dan pengecas telefon," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata kedua-dua suspek berjaya ditahan selepas polis membuat pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan berkenaan.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, tambah beliau.            

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan