KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula difailkan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berhubung pembatalan pendaftaran persatuan itu akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang lain, 14 Mei ini.
Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, susulan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang sepatutnya mendengar kes itu telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.
“Pada pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Lee Ka Full secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan pendengaran 14 Mei ini di hadapan Hakim Hayatul Akmal. Sehubungan itu, permohonan tersebut yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Menteri Dalam Negeri, Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga keempat memfailkan permohonan itu pada 11 Dis 2023.
Ia dibuat atas alasan antaranya tindakan Hindraf memfailkan saman pemula pada 3 Nov 2023 iaitu tiga hari sebelum pendengaran semakan kehakiman adalah penyalahgunaan proses mahkamah.
Selain itu, deklarasi yang dimohon Hindraf adalah bersifat akademik kerana tiada sebarang relif berkenaan kesahan keputusan pembatalan pendaftaran persatuan tersebut oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Menteri Dalam Negeri.
Pada 3 Nov 2023, Pengerusi Hindraf P. Waytha Moorthy memfailkan saman pemula antaranya mendakwa pembatalan pendaftaran persatuan itu oleh responden pertama dan kedua di bawah Sekyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 adalah tidak sah serta tidak berperlembagaan kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut memohon mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada Sekyen 13(1)(c)(iv) adalah tidak berperlembagaan dan tidak selaras Perkara 4.
Waytha Moorthy juga mendakwa pembatalan Hindraf di bawah seksyen itu adalah salah dan tidak berperlembagaan kerana tiada apa-apa unsur yang bercanggah dengan kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral sepertimana yang diperuntuk di bawah Perkara 10(2)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 29 Jan lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Hindraf terhadap Ketua Pengarah RoS dan Menteri Dalam Negeri berhubung pembatalan pendaftaran persatuan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial