Polis Tahan Lelaki, Rampas Syabu Dan Heroin Bernilai RM204,000

03/01/2025 02:25 PM

GEORGE TOWN, 3 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki ahli sindiket pengedaran dadah dan merampas syabu serta heroin bernilai RM204,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Mertajam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata penganggur berusia 39 tahun itu ditahan di hadapan rumahnya pada 4.15 pagi selepas polis bertindak atas hasil maklumat dan risikan.

“Hasil pemeriksaan terhadap motosikal dipercayai milik lelaki itu menemukan satu beg plastik berisi lima bungkusan mengandungi syabu dianggar seberat 6.1 kilogram dan sebungkus heroin seberat 900 gram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan mempercayai sindiket itu aktif dengan kegiatan itu sejak September tahun lepas dengan menjadikan kawasan sekitar Pulau Pinang sebagai pasaran utama.

Sindiket itu, katanya dipercayai memperoleh bekalan syabu dan heroin daripada rangkaian pengedaran dadah sebelum membungkusnya semula.

Hamzah berkata dadah dirampas boleh digunakan 35,000 penagih atau 35,000 kali penggunaan.

"Saringan air kencing mendapati lelaki itu positif terhadap dadah jenis amphetamine, methamphetamine, dan tetrahydrocannabinol (THC). Dia juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman hingga 9 Jan ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan