Konsert Tahun Baharu: Polis Percaya Individu Maut Beli Dadah Di Dalam Premis

03/01/2025 02:33 PM

SHAH ALAM, 3 Jan (Bernama) -- Polis percaya dadah jenis ekstasi yang disyaki diambil empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert di Bandar Sunway, Subang Jaya diperoleh atau dibeli di dalam premis konsert berlangsung.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagaimana dadah itu boleh dibawa masuk ke dalam premis berkenaan sedangkan Unit Anjing Pengesan (K9) polis ditempatkan di semua pintu masuk. 

“Siasatan awal mendapati ada dalam kalangan mereka membeli dadah di dalam premis semasa konsert pada harga satu pil RM50 selain ada yang membelinya di luar. 

“Siasatan juga mendapati ada pihak yang berlegar menjual pil ekstasi di dalam konsert kepada pengunjung dan polis sedang menyiasat mereka yang terlibat dalam penjualan tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata selain ekstasi, siasatan juga menunjukkan individu berkenaan turut mengambil minuman beralkohol semasa konsert berlangsung.

Berhubung aspek kawalan oleh anggota polis yang ditempatkan di lokasi konsert, Hussein berkata polis hanya ditugaskan untuk menjalankan pemantauan dan menjaga keamanan di luar premis.

“Urusan hal keselamatan pengunjung di dalam premis atau bangunan berkenaan adalah di bawah tanggungjawab pihak penganjur dan difahamkan mereka menggunakan polis bantuan bagi tujuan terbabit,” katanya.

Semalam, Hussein dilaporkan berkata siasatan awal polis mendapati empat mangsa yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert pada ambang tahun baharu itu disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.

Pihak penganjur kemudian tampil dengan kenyataan bahawa mereka telah mengambil pelbagai langkah keselamatan seperti kehadiran lebih 100 anggota polis, menempatkan anggota keselamatan terlatih dan unit K9 di semua pintu masuk, serta akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan yang dijalankan polis.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu.

Laporan polis berkaitan kematian mereka dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan