KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman warga asing disyaki cuba memberi rasuah hampir RM4,000 kepada pegawai polis untuk melepaskan seorang rakannya yang ditahan atas kesalahan mencuri.
Suspek lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Kuala Selangor, Selangor.
“Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan pekerja kilang di sekitar Lembah Klang telah melakukan kesalahan tersebut di dalam sebuah bilik di Balai Polis Kuala Selangor pada Rabu lepas dan memberikan rasuah kepada seorang pegawai polis,” menurut sumber.
Sumber memaklumkan perintah reman selama tujuh hari hingga 9 Jan ini dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial