Polis Marin Tahan Dua Warga Asing, Rampas Rokok Bernilai RM847,616

06/01/2025 02:42 PM

GEORGE TOWN, 6 Jan (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki warga asing dan merampas 4,120 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM847,616 termasuk cukai dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Butterworth, semalam.

Komander PPM Wilayah Satu ACP Rusley Chi Ari berkata serbuan dijalankan pasukan Unit Risikan Marin (URM) menerusi Operasi Taring Landai di sekitar kawasan itu kira-kira 1 tengah hari.

“Kedua-dua lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Op Taring Landai yang dilancarkan bermula 3 Jan hingga semalam diketuai seorang pegawai kanan polis dan enam pegawai rendah daripada URM di sekitar Butterworth. 

Berdasarkan rekod sepanjang tahun lepas, katanya sebanyak 2,168 kes tangkapan dilakukan pihaknya melibatkan nilai rampasan lebih RM42 juta atas pelbagai kesalahan.

Rusley berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui PPM sentiasa komited memerangi kegiatan penyeludupan terutama melalui jalan laut, justeru maklumat risikan akan diperkukuh dengan kerjasama pelbagai agensi dalam dan luar PDRM.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan