IPOH, 6 Jan (Bernama) -- Koperasi Pembangunan Sungai Tumboh (KPST) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa susulan pengosongan dan pencerobohan tanah di Seri Iskandar yang diusahakan oleh KPST dalam kejadian 27 Sept tahun lepas.
Pengerusinya Zainudin Norhan mendakwa akibat tindakan itu (musnahkan tanaman), koperasi yang dianggotai oleh pekebun kecil sawit tidak lagi dapat meneruskan tanaman yang diusahakan sejak lebih sedekad.
“Berkemungkinan wujud transaksi ‘bawah meja’ berhubung pemilikan tanah yang kami usahakan, kerana sebelum pencerobohan itu ada transaksi bernilai RM4 juta masuk ke akaun koperasi.
“Jumlah itu dikatakan nilai pampasan yang diberikan oleh pihak ketiga (pemaju), sedangkan kami ahli lembaga koperasi dan ahli yang lain tidak pernah bersetuju terhadap sebarang perjanjian terbabit, jadi kami minta perkara ini disiasat oleh SPRM bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku,” katanya dalam sidang media di luar perkarangan pejabat SPRM Perak, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya turut memohon agar SPRM menyiasat insiden pencerobohan terbabit, yang didakwa tanpa sebarang notis atau perintah mahkamah.
“Tanah seluas 1,052 hektar ini gerannya telah dikeluarkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan sepatutnya berlaku penyelesaian berhemah antara PKNP dengan pihak koperasi, namun perkara itu tidak berlaku.
“Pihak koperasi yang terdiri daripada 400 keluarga pernah mengadakan pertemuan dengan pihak PKNP, namun tidak ada penyelesaian dimuktamadkan sebelum ini, tetapi macam mana boleh lepas kepada pihak ketiga,” katanya.
Hishamuddin berkata arahan pengosongan dan memusnahkan hasil tanaman itu didakwa berlandaskan satu perjanjian ditandatangani oleh pihak koperasi kepimpinan terdahulu dengan pihak pemaju.
“Ahli Lembaga koperasi mendakwa mereka sama sekali tidak bersetuju untuk pengosongan dilakukan sebelum ini, malah tidak ada sebarang mesyuarat khas bagi membincangkan hal berkenaan.
“Tetapi pihak pemaju pula mendakwa ada satu perjanjian telah ditandatangani dan telah dibayar pampasannya kepada koperasi, namun kita persoalkan siapakah yang menandatangani persetujuan perjanjian berkenaan,” katanya.
Hishamuddin berkata pihak koperasi juga telah ditawarkan kawasan gantian namun menolak kerana mendakwa kawasan ganti yang baharu tidak sesuai untuk tanaman sawit kerana berpaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial