KOTA KINABALU, 7 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 98.33 kilogram dadah jenis methamphetamine dan ganja bernilai RM2.89 juta dalam tiga serbuan berasingan di sini baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah Siti Mang berkata semasa rampasan pertama pada 28 Nov lepas, Cawangan Narkotik JKDM Zon Sabah telah berjaya merampas tiga bungkusan dipercayai dadah di gudang Mas Kargo.
"Apabila diperiksa terdapat hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 60.977 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1.95 juta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata dalam rampasan kedua pada 9 Dis lepas, Cawangan Narkotik JKDM Zon Sabah sekali lagi merampas dua bungkusan di lokasi yang sama.
"Hasil pemeriksaan terdapat plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 20.201 kilogram dianggarkan bernilai RM696,114," katanya.
Siti berkata dalam operasi pada 28 Nov hingga 20 Dis lepas, pihaknya berjaya merampas 28 bungkusan di Pos Aviation Kota Kinabalu yang mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 17.15 kilogram dianggarkan bernilai RM250,038.30.
"Modus operandi semua kes berkenaan melibatkan penghantaran dadah melalui parcel dengan jumlah dan kaedah yang tidak mencurigakan sama ada melalui saluran logistik yang sah atau Pos Aviation untuk mengelakkan pengesanan pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Siti berkata pada 2 Jan lepas Pegawai Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah menahan dan memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar yang didapati mengandungi 50 kotak Chewing Tobacco dianggarkan bernilai RM38,500 dan melibatkan cukai sebanyak RM156,310.
"Pengimport telah gagal mengemukakan permit import yang sah berkaitan barangan terbabit. Barangan itu ialah barang larangan dan pengimportannya hanya dibenarkan dengan syarat memiliki permit import," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial