Zahid Peroleh Kebenaran Mula Prosiding Komital Terhadap Tun Dr Mahathir

07/01/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Prosiding itu berkaitan tindakan Dr Mahathir yang mengadakan sidang akhbar pada 5 Dis tahun lepas di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalan beliau selepas memberi keterangan dalam samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu "kutty".

Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi berkata pada prosiding dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong hari ini, mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya untuk memulakan prosiding komital selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan oleh Presiden UMNO itu.

Dr Mahathir telah selesai memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu pada 5 Dis lepas manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz selaku saksi terakhir plaintif pada 9 Dis sementara Ahmad Zahid dijangka memberi keterangan sebagai saksi defendan pada 14 Mei depan.

Dr Mahathir, 99, selaku plaintif menyaman Ahmad Zahid, 72, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau berhubung isu 'kutty'.

Berdasarkan pernyataan tuntutan difailkan pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan