KPDN Kedah Serbu Premis Pemborong Diesel Di Bukit Kayu Hitam

07/01/2025 09:38 PM

ALOR SETAR, 7 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyita 7,400 liter minyak diesel dianggarkan bernilai lebih RM17,000 dalam serbuan di premis pemborong barang kawalan bagi minyak petrol dan diesel di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan dilakukan tujuh anggota penguat kuasa kira-kira 12 tengah hari selepas risikan dijalankan selama dua minggu.

Beliau berkata seorang lelaki berumur 20-an dipercayai pekerja premis ditahan sebelum dilepaskan setelah keterangannya diambil.

"Pemeriksaan awal mendapati lesen borong barang kawalan bagi premis ini telah tamat tempoh pada 2 Okt 2024 dan pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam premis terbabit bersama rekod transaksi jual beli barang kawalan setelah lesen tamat tempoh. 

"Pasukan serbuan kemudian bertindak menyita sejumlah 7,400 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM17,612 berserta dokumen dan rekod jualan barang kawalan itu untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Muhammad Nizam turut mengingatkan kepada pihak berkaitan untuk mendapatkan lesen atau permit yang sah bagi tujuan berurus niaga atau menyimpan barang kawalan.

“Mana-mana orang yang cuba menyalahgunakan barang kawalan akan diambil tindakan tegas. KPDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan terutamanya barang kawalan bersubsidi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan