JOHOR BAHRU, 8 Jan (Bernama) -- Seorang penjaja makanan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat hantaran menghasut yang menghina Yang di-Pertuan Agong melalui aplikasi X, bulan lepas.
Hakim Hazeelia Muhammad turut memerintahkan Zaidi Mat Sah, 56, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Zaidi didakwa menerbitkan penerbitan menghasut dengan membuat satu hantaran dalam aplikasi terbabit menerusi akaun BitZ@zatocent yang kenyataan itu mendatangkan penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sutera di sini pada 5.45 pagi, 29 Dis tahun lepas mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Abdul Ghafar Ab Latif memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan membabitkan institusi diraja selain untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial termasuk repost.
Zaidi yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah untuk hukuman ringan kerana dia telah insaf serta menyedari kesalahannya dan berjanji tidak akan mengulanginya.
"Saya hanyalah seorang penjaja jalanan, perlu menanggung isteri dan anak masih kecil selain turut menjaga ibu mentua serta kakak dan adik yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya juga ingin maklumkan kenyataan terbabit bukan tulisan asal saya, tetapi saya copy, paste kemudian repost. Saya terkhilaf dan tidak tahu ia merupakan satu kesalahan 3R (agama, kaum dan institusi raja),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial