Lima Warga Asing Didenda RM1,200 Kerana Merusuh

08/01/2025 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Lima warga asing termasuk seorang wanita masing-masing didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah merusuh di kawasan pusat hiburan di Bukit Bintang, Disember tahun lepas. 

Mereka ialah warga Syria Abdal Glel, 26, dan tiga warga Algeria iaitu Mouaad Lazib, 26, Haithem Nouaouia, 29, dan Yasin Nasah, 22, serta wanita Maghribi, Oumaima Mallas, 26 tahun.

Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan juga memerintahkan semua tertuduh dipenjarakan sebulan, jika gagal membayar denda itu. 

Semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan terbabit di Jalan Changkat, Bukit Bintang di sini pada 5.50 pagi, 23 Dis. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, peguam Erickka Farrise Amir yang mewakili semua tertuduh merayu hukuman rendah atas alasan anak guamnya merupakan warga asing dan masih bujang.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan