Warga Emas Ditahan Beli Minyak Diesel Tanpa Permit

09/01/2025 06:18 PM

IPOH, 9 Jan (Bernama) -- Seorang warga emas ditahan kerana disyaki melakukan pembelian diesel menggunakan tujuh tong tanpa permit bernilai RM30,000 di sebuah stesyen minyak di Changkat Jong, Teluk Intan, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata individu berusia 71 tahun itu, ditahan sekitar jam 8.02 malam oleh sepasukan anggota KPDN Cawangan Teluk Intan.

“Dalam pemeriksaan yang dilakukan, individu tersebut sedang leka mengisi minyak diesel ke dalam tong yang berada di atas kenderaan pacuan empat roda di sebuah stesen minyak.

“Pemeriksaan lanjut oleh anggota KPDN menemukan 129 liter minyak diesel di dalam tujuh tong yang berada di atas kenderaan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata individu tersebut juga gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan apabila diminta oleh anggota KPDN.

“Kes  disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata stesen minyak yang disyaki terlibat dalam kes sama turut akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuk syor pembatalan Lesen Runcit Barang Kawalam Berjadual (CSA) bagi minyak diesel jika didapati bersalah.

“KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan. Mana-mana yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122],” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan