Polis Sita 60 Motosikal Dalam Op Samseng Jalanan

12/01/2025 11:19 AM

BALIK PULAU, 12 Jan (Bernama) -- Polis menyita 60 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini awal hari ini sebagai usaha membanteras kegiatan mat rempit.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata operasi dijalankan bermula 4 pagi selepas polis bertindak hasil aduan pengguna jambatan dan risikan berkaitan kegiatan lumba haram di situ.

"Kesemua motosikal disita adalah hasil pemeriksaan terhadap 120 motosikal. Antara kesalahan dikenal pasti ialah mengubah suai keterlaluan dan individu terlibat menunggang secara berbahaya ala “Superman”.

"Seorang daripada lelaki yang diperiksa juga bukan sahaja didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikalnya, tetapi juga nombor enjin palsu. Lelaki itu disiasat lanjut bagi mengetahui sama ada motosikal terbabit miliknya atau kenderaan curi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 170 saman atas pelbagai kesalahan trafik antaranya tiada lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan tiada cukai jalan.

Sazalee berkata pihaknya turut menjalankan operasi sama di kawasan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu berhampiran Seagate yang sering menjadi tumpuan geng mat rempit berlumba haram.

Hasil pemeriksaan, katanya pihaknya menahan lapan lelaki berusia 20-an kerana berlumba haram dan menyita lapan motosikal manakala kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan