ALOR SETAR, 13 Jan (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menahan 31 pendatang tanpa izin berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, hari ini.
TDM dalam kenyataan memaklumkan tangkapan dilakukan kira-kira 6 pagi tadi di sekitar Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Menurut TDM, sepasukan anggota operasi yang menjalankan rondaan telah mengesan sekumpulan pendatang tanpa izin yang sedang bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 31 pendatang tanpa izin itu merupakan warga Myanmar terdiri daripada 14 lelaki, 14 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Kesemuanya berusia antara 2 hingga 42 tahun dan dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah," menurut kenyataan itu.
TDM memaklumkan pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai, 23 telefon bimbit serta beberapa set perhiasan dipercayai barang kemas yang keseluruhan dianggar bernilai lebih RM27,000.
Kesemua pendatang tanpa izin itu telah diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial