Polis Tahan Peniaga Miliki 47 Senjata Tiruan

13/01/2025 08:57 PM

KUANTAN, 13 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang peniaga dan merampas 47 pucuk senjata api tiruan yang disyaki untuk dijual secara dalam talian selepas menyerbu sebuah rumah di Inderapura, di sini 2 Jan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 35 tahun itu telah ditahan reman selama seminggu sebelum ini dan kes berkenaan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Kita percaya senjata api tiruan itu diimport dan ia menyerupai senjata api asli walaupun alat mainan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini. 

Yahaya berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan semakan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Sementara itu, Yahaya meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada polis jika mempunyai maklumat berkaitan kehilangan dua remaja iaitu Nur Hidayatul Iman Abdullah dan Tan Joon Tien, masing-masing berusia 14 tahun.

Beliau berkata kehilangan dua remaja terbabit dilaporkan pada 28 dan 31 Dis lepas di Genting Highlands, Bentong dan Brinchang, Cameron Highlands.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan daripada segala sudut termasuk melakukan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berdekatan tempat kedua-dua mangsa dipercayai menginap.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan