PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menegaskan bekas Perdana Menteri itu telah membelanjakan jutaan ringgit daripada dana terbabit bagi meningkatkan imej demi kepentingan peribadinya.
Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar mendakwa Najib telah melakukan perbuatan itu dengan menggunakan perkhidmatan syarikat strategi komunikasi untuk meningkatkan imejnya dengan menggunakan wang yang didakwa hasil aktiviti haram yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Kamal Baharin berkata demikian ketika merujuk Najib kepada tiga cek, iaitu RM2 juta kepada syarikat media ORB Solutions Sdn Bhd, RM303,000 kepada syarikat penulisan ucapan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd dan RM246,000 yang dikeluarkan kepada Lim Soon Peng untuk menguruskan laman Facebook "Ah Jib Gor" yang ditulis dalam bahasa Cina.
Najib bagaimanapun, menafikan cadangan yang dikemukakan oleh Kamal Baharin dan menegaskan bahawa wang disalurkan daripada Tanore Finance Corporation ke dalam akaun peribadinya merupakan wang derma daripada Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah.
Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau menggunakan khidmat ORB Solutions sebagai platform tambahan kerana media arus perdana tidak dapat menyebarkan mesej dan naratif kerajaan kepada semua lapisan masyarakat manakala Semarak Konsortium berperanan menulis ucapan dalam bahasa Inggeris untuk forum antarabangsa.
Kamal Baharin: Untuk tugasan ini, Datuk Seri boleh dapatkan orang di PMO (Pejabat Perdana Menteri) untuk melakukannya.
Najib: Kemahiran bahasa Inggeris mereka tidak cukup tinggi.
Kamal Baharin: Adakah Datuk Seri hendak cakap penjawat awam tidak mahir bahasa Inggeris?
Najib: Sukar untuk cari ketika itu.
Bagaimanapun, ketika ditanya Kamal Baharin alasan Najib menggunakan wang daripada akaun peribadinya dan tidak menggunakan dana kerajaan untuk tujuan ini, Najib menjawab beliau tidak mahu membebankan kerajaan.
Sementara itu, Najib turut menafikan pembayaran RM246,000 bagi menguruskan laman Facebook "Ah Jib Gor" bertujuan meningkatkan imej peribadinya dan berkata ia berkait dengan tugas rasmi beliau ketika itu selaku Perdana Menteri untuk menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat.
Kamal Baharin: Saya katakan bahawa jika ini benar-benar berkaitan kapasiti Datuk Seri sebagai Perdana Menteri, Unit Komunikasi Pejabat Perdana Menteri boleh mengendalikannya.
Najib: Ya, tetapi perkara ini melibatkan media sosial yang di luar skop kerajaan.
Kamal Baharin: PMO masih boleh mengendalikannya.
Najib: Kita perlukan pelbagai platform.
Kamal Baharin: Saya katakan ini untuk kapasiti peribadi Datuk Seri.
Najib: Ia tugas rasmi saya sebagai Perdana Menteri untuk berkomunikasi dengan rakyat.
Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Kamal Baharin bahawa wang yang diberikan kepada dua syarikat dan seorang individu itu merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial