Remaja Ditahan Memandu Tanpa Lesen, Akibatkan Kemalangan Maut

14/01/2025 11:52 PM

KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan kerana dipercayai memandu kereta tanpa lesen dan mengakibatkan kemalangan yang meragut lima nyawa di Jalan Stutong Baru tengah hari tadi. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu suspek telah hilang kawalan sebelum terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh dua motosikal serta dua kereta.

"Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa (tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan) berusia antara 16 hingga 45 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa berusia 16 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mohd Farhan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082-259900 atau melaporkan ke mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan