KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita dan dua lelaki warga Indonesia kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin selepas sebuah rumah yang dijadikan tempat transit di Bandar Mahkota Cheras, dekat sini, diserbu malam tadi.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata kesemua mereka yang berusia antara 28 dan 50 tahun itu dipercayai berperanan sebagai penjaga dan pembantu rumah transit tersebut.
Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata suspek wanita itu turut didapati berperanan sebagai pengatur bagi perjalanan keluar dan masuk pendatang tanpa izin ke Malaysia melalui jalan laut di kawasan Banting, Selangor, selain penyedia tempat tinggal dan makanan kepada mereka.
“Siasatan awal juga mendapati rumah transit yang digunakan adalah rumah yang disewa suspek wanita berkenaan yang mengenakan bayaran sewa sebanyak RM30 sehari terhadap setiap pendatang tanpa izin.
“Hasil soal siasat awal terhadap pendatang tanpa izin, bayaran yang dikenakan untuk masuk atau keluar ke Malaysia adalah sebanyak RM1,500 hingga RM3,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soffian berkata menerusi Op Pintas Penyeludupan Migran itu, pihaknya turut menahan 24 pendatang tanpa izin terdiri daripada 17 warga Indonesia dan tujuh warga Myanmar berusia antara 21 dan 54 tahun.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1956/63.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial