Kerani Bank Didakwa Pecah Amanah Akaun Masjid Lebih RM100,000

16/01/2025 02:43 PM

ALOR SETAR, 16 Jan (Bernama) -- Seorang kerani bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang akaun sebuah masjid berjumlah RM115,900, tiga tahun lepas.

Mohd Abd Rahman Hamzah, 41, didakwa sebagai seorang kerani tingkatan biasa yang diamanahkan wang dalam akaun milik Masjid Kampung Paya, telah melakukan pecah amanah dengan menjadikannya untuk kegunaan sendiri antara 23 Mac hingga 26 Julai 2022 di Bank Rakyat Cawangan Kuala Nerang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Ab Rashid mencadangkan jaminan RM60,000, namun peguam  Ilyana Syafiqa Md Saad yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Hakim Mazdi Abdul Hamid kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkannya melapor diri setiap bulan di balai polis serta menyerahkan pasport dan menetapkan 16 Feb ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan