KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Seorang pencuci kereta warga Myanmar didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini selepas mengaku bersalah mengaibkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aplikasi TikTok, tahun lepas.
Majistret Amalina Basirah Md Top turut memerintahkan Ramzan Ali Noor Din, 38, dipenjara enam bulan jika gagal menbayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Ramzan Ali didakwa mengaibkan PDRM dengan memuat naik video di aplikasi TikTok atas nama ‘theintheinzaw403’ dan melontarkan kata-kata kesat serta tuduhan tidak berasas kepada PDRM bagi membangkitkan kemarahan terhadap pihak berkuasa itu di Balai Polis Pandan Indah, di sini, pada 5 petang, 28 Okt tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Wan Nur Afifah Che Bakar yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Tertuduh bekerja di pusat cuci kereta dengan pendapatan RM60 sehari. Dia juga mengakui kesalahannya dan insaf atas perbuatan dilakukan malah ini merupakan kesalahan pertamanya,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani berkata video yang dimuat naik tertuduh telah mengaibkan dan mencemarkan nama baik PDRM justeru memohon hukuman bersifat pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial