Arul Kanda Beritahu Mahkamah, beliau Tidak Meminta Penjelasan Penamatan Dua Juruaudit 1MDB

16/01/2025 05:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak bertanya mengenai alasan dua juruaudit syarikat tersebut diberhentikan.

Juruaudit 1MDB, Ernst & Young (EY) dan KPMG, masing-masing ditamatkan perkhidmatan pada 2010 dan 2013.

Arul Kanda menjelaskan bahawa beliau tidak menanyakan mengenai perkara tersebut kerana beliau hanya menyertai dana kekayaan negara itu, pada 2015.

Tertuduh pertama itu menjawab soalan peguam Datuk Lim Chee Wee, semasa perbicaraan kes saman 1MDB bernilai US$6.59 bilion terhadapnya dan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Lim: Adakah anda berurusan dengan pihak berkepentingan juruaudit anda yang terdahulu, iaitu EY dan KPMG, untuk memahami mengapa mereka meletak jawatan atau diberhentikan?

Arul Kanda: Tidak.

Apabila ditanya oleh Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, sama ada beliau pernah melihat laporan teguran (laporan yang mengandungi penemuan audit negatif) daripada KPMG, Arul Kanda menjawab: “Saya tidak tahu jika ada laporan teguran tersebut”.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan serta Arul Kanda, dengan menuduh mereka pecah amanah dan konspirasi yang mengakibatkan kerugian US$1.83 bilion berkaitan pelaburan syarikat dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudian ditukar menjadi pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan boleh diperoleh semula daripada Dana Global Bridge.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalahgunakan dana syarikat bernilai US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion yang dibayar kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa pada 9 Mei 2017.

1MDB mendakwa Mohd Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melaksanakan satu lanjutan perjanjian pekerjaan, membayar sejumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa mengambil kira kepentingan 1MDB, yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada syarikat itu.

Akibatnya, 1MDB menuntut ganti rugi US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan untuk pelanggaran itu, dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan pelanjutan perjanjian pekerjaan.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan