KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta.
Menurut sumber, suapan itu sebagai balasan memberikan kerja-kerja sebagai subkontraktor bagi tender Perkhidmatan Membekal Makanan dan Minuman kepada pekerja bernilai kira-kira RM900 juta.
“Lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira 8 malam tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati dia dipercayai melakukan perbuatan itu pada Ogos 2023 dan wang rasuah dikesan dipindahkan ke akaun milik syarikat suspek,” katanya.
Sumber itu memaklumkan, suspek juga disyaki mengaku sebagai kontraktor utama bagi tender pembekalan makanan dan minuman selama lima tahun kepada pekerja di sebuah loji penapisan minyak sedangkan tender terbabit tidak wujud.
“Pada masa sama, suspek yang turut menyamar sebagai Datuk ini mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan,” katanya.
Perintah reman terhadap lelaki itu selama lima hari hingga 20 Jan ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas menerima permohonan daripada SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial