SEREMBAN, 20 Jan (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi dikemukakan tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah berkaitan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang dihadapi mereka.
Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi semasa sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Datin Surita Budin memaklumkan representasi diterima melibatkan Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 22, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 21, dan Muhammad Fawzun Azim Ismail, 21.
Rasyidah berkata representasi tersebut telah diteliti di peringkat tertinggi dan pihak pendakwaan telah menerima untuk menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 377E Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun seorang lagi tertuduh, Ahmad Nadzful Izham Azizan, 23, kekal dengan pertuduhan sedia ada di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berikutan tidak mengemukakan representasi.
Dalam pada itu, peguam mewakili kesemua tertuduh, Datuk Hanif Hassan memohon masa kepada mahkamah bagi berbincang lanjut dengan keluarga anak guam berkaitan perkara berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Feb ini bagi status pertuduhan pilihan dan hukuman alternatif.
Bagi Ahmad Nadzful, turut ditetapkan tarikh sama bagi serahan laporan perubatan selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan laporan tersebut tidak dapat diserahkan kepada pihak pembelaan pada prosiding hari ini.
Pada 19 Sept lepas, Muhammad Habib Noh yang berdepan lima pertuduhan, Muhammad Khunais (enam pertuduhan) dan Ahmad Nadzful (tiga pertuduhan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di sebuah madrasah di Kuala Pilah pada 2022 hingga 2023.
Keesokannya, Muhammad Fawzun tidak mengaku bersalah di mahkamah yang sama bagi enam pertuduhan atas perbuatan sama terhadap empat kanak-kanak lelaki di pusat jagaan itu sekitar 2023.
Pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 manakala dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan boleh juga disebat.
Kesemua tertuduh ditahan dalam Op Global yang dijalankan sekitar September tahun lepas melibatkan serbuan ke atas premis berkaitan GlSB (GISB) Holdings Sdn Bhd di seluruh negara, yang didakwa terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan doktrin ketaasuban.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial