Mekanik Ditahan Kes Video Tular Pukul Anjing Peliharaan Guna Tukul Besi

20/01/2025 07:03 PM

IPOH, 20 Jan (Bernama) -- Seorang mekanik ditahan kerana disyaki memukul seekor anjing peliharaannya menggunakan tukul besi di sebuah taman perumahan di Taman Ria, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 42 tahun itu dilakukan setelah laporan polis dibuat hari ini oleh pengadu yang melihat rakaman video kejadian berkenaan di laman Facebook.

Beliau berkata suspek dipercayai bertindak demikian akibat marah digigit haiwan peliharaannya itu dalam kejadian yang didakwa berlaku kira-kira pukul 8 malam, Sabtu lepas.

“Anjing berkenaan telah diselamatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV) negeri bagi tujuan rawatan dan senjata serta baju yang dipakai suspek semasa kejadian turut dirampas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan 17 narkotik memiliki lesen sah untuk memelihara haiwan berkenaan. 

Abang Zainal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Binatang 1953 iaitu kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan. 

Terdahulu, tular video berdurasi 43 saat di laman sosial Facebook Malaysian Dogs Deserve Better memaparkan seorang lelaki memukul seekor anjing dengan sebatang tukul besi dan video berkenaan telah dirakam seorang individu, dipercayai tinggal berhampiran kawasan kejadian.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan