Ahli Perniagaan Didakwa 17 Pertuduhan Tipu Perkeso Berhubung Kursus, Latihan Babit Wang Lebih RM800,000

21/01/2025 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan menipu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung kursus dan latihan tidak wujud membabitkan wang berjumlah RM832,000, lima tahun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-17, P.Sathia Seelan, 52, didakwa telah menipu Perkeso dengan memperdayakan dua pegawai pertubuhan itu untuk mempercayai dokumen yang mengandungi senarai nama kehadiran dan tandatangan peserta bagi tiga kursus yang tidak pernah dijalankan atas nama sembilan syarikat bertarikh antara 7 Dis 2020 dan 12 Jun 2021.

Perbuatan itu mendorong Perkeso membuat bayaran RM832,000 kepada Syarikat Global Education Network Sdn Bhd milik tertuduh, yang mana pertubuhan itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Menara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Perkeso di Putrajaya antara 23 Dis 2020 dan 23 Jan 2021 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Amirah Muhammad Ali di hadapan Hakim Suzana Hussien mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap Sathia Seelan dengan mengambil kira kesalahan itu membabitkan wang lebih RM800,000.

“Selain itu, kami mohon syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Peguam R.Babu Naidu yang mewakili Sathia Seelan memohon jaminan RM40,000 atas alasan anak guamnya yang sudah berkahwin telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.

Sementara itu dalam prosiding berasingan, penganggur, R. Nanthagopal, 43, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad, atas 17 pertuduhan bersubahat dengan Sathia Seelan atas kesalahan sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Siti Amirah turut mencadangkan jaminan RM100,000 ke atas Nanthagopal berserta syarat tambahan serupa dengan Sathia Seelan manakala Babu Naidu memohon jaminan sama dengan alasan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai tiga anak tidak bekerja serta menghidap penyakit darah tinggi serta jantung.

Hakim Suzana dan Rosli masing-masing membenarkan Sathia Seelan dan Nanthagopal masing-masing diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 19 Mac dan 6 Mac sebutan kes untuk Sathia Seelan dan Nanthagopal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan