KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia bersama Kementerian Kesihatan (KKM) menahan 10 lelaki warga Bangladesh kerana disyaki menawarkan perkhidmatan rawatan kesihatan dan menjual ubat tidak berdaftar dalam serbuan di 10 premis sekitar ibu negara semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi khas yang bermula 11.45 pagi itu melibatkan Bahagian Penguatkuasaan (Farmasi) KKM Kuala Lumpur dan Putrajaya menyerbu enam premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang.
“Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan 10 lelaki berusia lingkungan 31 hingga 50 tahun.
“Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua telah tinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mereka berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa dan modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah dengan menyasarkan warga negara terbabit.
“Kita merampas peralatan doktor palsu, pelbagai jenis ubat dan wang tunai RM800 dipercayai hasil rawatan dan jualan ubat selain pihak KKM merampas 502 jenis ubat tidak berdaftar dengan nilai rampasan dianggarkan RM265,192,” katanya.
Zakaria berkata bayaran rawatan dan penjualan ubat yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan warga Bangladesh dan dipercayai telah beroperasi selama setahun.
Seterusnya beliau berkata siasatan juga mendapati ubat yang dijual tidak berdaftar dan tiada kelulusan KKM serta disyaki dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.
“Kesemua warganegara asing itu ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi lelaki warga Bangladesh dan enam wanita tempatan diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial