Along Cham Sujud Syukur, Dilepas Tanpa Dibebaskan Satu Kesalahan Dadah

27/01/2025 04:13 PM

SEPANG, 27 Jan (Bernama) -- Pelakon dan pelawak Muhammad Nizamuddin Ahmad atau lebih dikenali Along Cham melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis.

Bagaimanapun, bekas peserta program realiti berusia 41 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan lain iaitu masing-masing memiliki dadah dan mengambil dadah serta dibenarkan ikat jamin RM5,000.

Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memberitahu, hasil laporan kimia tertuduh, pendakwaan memohon pertuduhan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dipinda dan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952.

Mendengar perkara berkenaan, Hakim Ahmad Fuad Othman memerintahkan Muhammad Nizamuddin dilepas tanpa dibebaskan.

"Pertuduhan kamu di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ini DNAA. Kemudian kamu akan dituduh di Mahkamah Majistret dan tuduhan ke atas kamu diturunkan," katanya.

Di Mahkamah Majistret, Along mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dadah jenis kanabis dan memasukkan dadah ke badannya pada hari sama.

Mengikut pertuduhan pertama, pelawak itu didakwa dalam milikannya bahan berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di sebuah rumah di Cyberjaya di sini, 3.10 petang, 14 Dis 2024.

Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(a)(1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) pada 10 malam, tarikh sama, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Pada 20 Dis tahun lepas, Muhammad Nizamuddin didakwa memiliki dadah disyaki kanabis dianggarkan seberat 58.23 gram (g) di kediamannya di Cyberjaya pada 3.10 petang, 14 Dis tahun lepas.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan jaminan masing-masing RM3,500 dan RM1,500 bagi dua pertuduhan berserta seorang penjamin dan 7 April untuk serahan laporan kimia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan